Saturday, February 21

Perlukah Multivitamin Ketika Hamil?

multivitamin
Kadang kala kerana terlalu teruja untuk menjaga kandungan, bakal ibu mengambil banyak suplemen tambahan selain yang dibekalkan oleh doktor. Tujuannya untuk menjaga kesihatan bayi dalam kandungan dan mahu anak lahir cergas dan bijak.
Persoalannya, perlukah wanita hamil mengambil suplemen multivitamin? Sebenarnya selagi kehamilan anda sihat dan tidak bermasalah, cuma satu sahaja vitamin yang perlu diambil sebagai suplemen iaitu vitamin B atau asid folik.
Doktor juga biasanya akan membekalkan suplemen ini sejak awal kehamilan lagi. Sebaiknya ibu hamil mendapatkan pelbagai khasiat vitamin dan mineral lain yang diperlukan sepanjang hamil dengan memakan pelbagai makanan yang sihat. Diet yang seimbang adalah cara terbaik untuk mendapatkan nutrien yang ibu dan bayi perlukan.
Makanan yang sihat mestilah mengandungi empat kumpulan makanan berikut:
*Buah-buahan dan sayur-sayuran, sama ada segar, sejuk-beku, dalam tin atau yang kering. Cuba makan lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.
*Makanan berkanji dan mengenyangkan (karbohidrat) seperti roti, pasta, nasi dan kentang. Jadikan makanan berkanji sebagai asas hidangan anda dan sebaik-baiknya pilihlah bijian penuh.
*Makanan yang kaya dengan protein seperti daging, ikan, telur dan kekacang. Makanan-makanan ini juga merupakan sumber zat besi yang bagus.
*Makanan berasaskan tenusu yang mana mengandungi kalsium, seperti susu, keju dan yogurt. Sama seperti ikan dan garam laut, produk tenusu adalah sumber iodin baik yang diperlukan oleh ibu hamil untuk membantu perkembangan otak bayi.
Sebaiknya elakkan daripada makan terlalu banyak makanan dan minuman berlemak atau manis. Makanan ini mungkin mengenyangkan untuk jangka masa pendek, tetapi tidak membekalkan mineral dan vitamin yang diperlukan.
Walaupun tidak dinafikan, kadang kala sukar untuk ibu mendapatkan diet yang seimbang terutama sekiranya mengalami masalah loya, muntah, tiada selera makan dan terlalu sibuk di pejabat, maka suplemen mungkin dapat membantu anda mendapatkan nutrient yang diperlukan.

Friday, February 20

Kurangkan Kopi Ketika Hamil

kopi
Adakah anda seorang peminum kopi yang tegar? Tentu sukar meninggalkannya sebaik diri disahkan hamil. Kopi merupakan minuman yang kaya dengan kafein. Seperti diketahui kafein bersifat diuretik yang mengganggu penyerapan zat besi dalam tubuh yang amat diperlukan oleh ibu hamil.
Bukan bermakna ibu hamil langsung tidak boleh minum air kopi cuma jika sebelum ini anda mengambilnya empat hingga lima cawan sehari, cuba perlahan-lahan kurangkan kuantiti pengambilan. Ini kerana berhenti serta merta pengambilan kopi bagi peminum tegar akan membuatkan tubuh menjadi tidak selesa dan mengganggu keseimbangan diri anda. Jadi, apa kata ambil langkah berikut bagi mengawal pengambilan kopi demi kesihatan diri sendiri dan anak dalam kandungan.
*Kawal pengambilan
Sebenarnya minum kopi sebanyak dua cawan sehari dengan jumlah kafein lebih kurang 200mg adalah selamat untuk ibu hamil. Tetapi semakin sedikit kafein yang terserap dalam badan ketika hamil adalah lebih baik. Apa kata, anda kurangkan kuantiti kopi yang diminum dengan menukar saiz cawan yang digunakan. Jika sebelum ini anda menggunakan cawan yang besar, tukarkan kepada cawan paling kecil. Anda juga boleh lebih mencairkan kopi tersebut. Perlahan-lahan kurangkan kekerapan minum daripada sehari  empat cawan kepada tiga, dua, secawan dan berhenti sepenuhnya. Mungkin juga anda boleh minum kopi seminggu sekali (tetapi hanya secawan kecil sahaja) bagi melepaskan ketagihan terhadap kopi.
*Bertukar kepada teh
Teh juga mengandungi kafein namun jumlah kurang berbanding kopi. Sebaiknya minum teh hijau yang tinggi kandungan vitamin C dan antioksidan. Lebih elok jika anda buat minuman teh menggunakan daun teh sebenar. Caranya didihkan daun teh dalam air mendidih selama 30 saat dan terus tuang ke dalam cawan. Dengan cara ini, kandungan kefein dalam teh tidak terlalu banyak. Elakkan daripada minum teh herba yang boleh memberi kesan bukur kepada kehamilan.
*Sentiasa ingat tujuan
Biarpun sudah menanamkan niat untuk berhenti minum kopi sepanjang hamil tetapi kadang kala keinginan tersebut sukar dikawal apatah lagi jika anda sememangnya peminum kopi tegar. Tetapkan azam dan sentiasa ingat tujuan anda berhenti minum kopi adalah untuk memastikan anak dalam kandungan sihat dan bebas daripada sebarang masalah dan kesan buruk ketagihan kafein.
*Cara pengganti
Mengapa agaknya anda terlalu gemar minum kopi? Adakah kerana aromanya atau rasanya yang pahit manis atau juga kesan yang diperoleh selepas menikmati secawan kopi iaitu menjadi lebih bertenaga? Dengan cara ini anda dapat mencari pengganti bahan lain yang boleh memberikan anda rasa yang sama seperti kopi.  Misalnya anda boleh mencuba minuman lain yang memberikan kemanisan dan aroma yang sama. Sekiranya kopi sebagai sumber tenaga anda, apa kata ubah ia dengan mengambil snek yang kaya karbohidrat kompleks dan protein atau membuat aktiviti ringan seperti berjalan kaki selama 10 minit dan pastikan anda mendapat tidur berkualiti yang cukup.

Thursday, February 19

Selamatkah Ais Krim Ketika Hamil?

aiskrim
Ais krim memang enak dinikmati terutama ketika dalam cuaca panas. Ia makanan kegemaran kebanyakan kanak-kanak kecil. Bagaimanapun ada dalam kalangan ibu hamil yang tiba-tiba mempunyai selera tinggi terhadap ais krim.
Sememangnya selera ibu hamil sukar dijangkakan. Jika sebelum ini memang tidak hairan dengan ais krim tetapi sepanjang mengandung, asyik teringin makan ais krim sahaja. Bolehkah wanita hamil makan ais krim? Tiada sebarang kesan burukkah kepada tabiat pemakanannya? Bukankah ais krim adalah salah satu makanan yang tidak sihat dan boleh menyebabkan kegemukan.
Mitos tentang ibu hamil yang makan ais krim boleh menyebabkan saiz badan bayi dalam kandungan menjadi terlalu besar masih dipercayai oleh sesetengah ibu yang berbadan dua. Akibatnya, walaupun keinginan menikmati ais krim terlalu tinggi, ibu terpaksa menelan air liur dan melupakannya kerana bimbang kesan buruk yang boleh diperoleh oleh bayi dalam kandungan.
Hakikatnya ais krim adalah makanan yang selamat dinikmati oleh ibu hamil. Ini kerana ia diperbuat daripada bahan asas yang mengandungi susu, lemak dan kalsium iaitu nutrisi penting yang diperlukan oleh ibu sepanjang kehamilan.
Semasa mengandung, ibu memerlukan kalsium untuk pembentukan tulang janin yang dikandung dan menguatkan tulang ibu sepanjang kehamilan. Ini kerana semasa hami, ibu akan mengalami perubahan hormon dim ana keperluan kalsium meningkat daripada biasa. Jadi, ais krim merupakan salah satu sumber kalsium yang baik untuk dinikmati oleh ibu hamil.
Bagaimanapun pemilihan ais krim mestilah yang betul. Ais krim yang baik adalah ais krim yang mengandungi susu, lemak dan protein. Ibu hamil disarankan mengambil sebanyak dua hingga tiga cawan ais krim seminggu. Ini kerana komposisi 100 gram ais krim mengandungi sebanyak 207 kalori, 4 gram protein dan 12.5 gram lemak. Jika ibu makan ais krim dalam kuantiti yang betul maka masalah kegemukan tidak akan terjadi sepanjang kehamilan hanya kerana makan ais krim.
Mungkin bagi ibu hamil yang mengalami berat badan berkurangan menjelang kelahiran, boleh makan ais krim dengan lebih kerap dengan tujuan menaikkan berat badan bayi. Tetapi harus diingat, ais krim bukan makanan utama bagi ibu hamil, sebaliknya ia hanya kudapan yang boleh digabungkan dengan makanan lain seperti yogurt, buah-buahan segar, roti atau biskut.
Ais krim juga boleh menjadi makanan penyelamat bagi ibu hamil yang mengalami masalah loya dan mual di awal kehamilan cuma pastikan bahan asasnya adalah berkhasiat dan tidak mengambil dalam kuantiti berlebihan. Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor mengenai pengambilan ais krim sebagai makanan sampingan utama sepanjang mengandung
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...